Alhamdulillah…
Buku pertama yang berjaya dikhatamkan untuk cuti kali ini. Rasanya macam mau kongsi setiap lembaran dari buku tu. Semuanya menarik!
Ok, kita mulakan dengan serba ringkas tentang riwayat hidup ulama' terbilang ini.
Imam Malik merupakan pengasas Mazhab Maliki. Keturunannya berasal dari Yaman. Beliau lahir di Madinah pada tahun 95hijrah bersamaan 712masihi dan wafat pada hari ahad 14 Rabiulawal tahun 179hijrah ketika berusia 86 tahun.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Imam Malik dikandungkan ibunya selama 2 tahun dan ada pula pendapat mengatakan 3 tahun. Beliau dikurniakan kecerdasan akal fikiran yang tinggi. Beliau berjaya menghafaz Al-Quran ketika diusia masih kecil. Imam malik mempunyai akhlak yang sangat baik, suka berpakaian bersih dan bagus serta suka kepada wangi-wangian.
Muhaddithin.
Imam Malik merupakan salah seorang muhaddithin(ahli hadis) yang tersohor. Sewaktu diusia mudanya, beliau seorang yang sangat cintakan ilmu. Setelah berguru mempelajari ilmu Quran dan Feqah, beliau beralih pula kebidang Hadis. Beliau berguru dengan Ibnu Syihab az-Zuhri.
Imam malik datang berguru Hadis dengan membawa seutas tali sahaja. Setiap kali mendengar gurunya membaca sebuah hadis, dia membuat satu simpulan pada tali itu bagi memudahkan dia mengingatinya. Perbuatan imam malik itu menimbulkan rasa hairan pelajar yang lain lalu mengadukannya kepada guru mereka.
"Apa yang kamu lakukan?" tanya Ibnu Syihab.
"Saya sedang belajar" jawab Imam Malik.
"Saya lihat kamu asyik bermain tali"
"Saya sedang menghafal hadis-hadis yang tuan bacakan."
"Bagaimana kamu melakukannya?"
"Setiap kali saya mendengar tuan membaca sebuah hadis,saya menghafalnya lalu saya buat satu simpulan pada tali ini,dengan itu memudahkan saya mengingatinya." Jawab imam Malik.
Bagi menguji kebenaran kata-kata itu, Ibnu Syihab menyuruh Imam Malik membaca sebuah hadis yang baru dibacakannya. Imam Malik membacanya dengan lancar tanpa sepatah huruf pun yang tinggal. Semua kagum dengan kebolehan Imam Malik.
Sejak itu ramai yang cuba meniru cara Imam Malik menghafal hadis dengan menggunakan simpulan pada tali tetapi mereka tidak berjaya. Mereka juga bertanyakan rahsianya namun Imam Malik sendiri tidak dapat menjelaskannya.
"Sesungguhnya saya sangat menghormati serta mencintai hadis Rasulullah SAW. Setiap kali mendengarnya saya tumpukan sepenuh perhatian hingga seolah-olah dada saya terbuka bagi menerima kemasukan hadis-hadis itu lalu terus melekat dalam ingatan saya." Beritahu Imam Malik.
Pernah suatu hari Gabenor Madinah datang mendengar hadis yang dibacakan Imam Malik. Imam Malik terus membaca tanpa menghiraukan kedatangan Gabenor tersebut. Orang ramai bimbang sekiranya menimbulkan kemarahan penguasa Madinah itu.
"Mengapa kamu tidak menghiraukan kedatangan saya?" Tanya Gabenor selepas selesai Imam Malik membaca hadis.
"Tuan Gabenor, ketika tuan datang tadi saya sedang membaca hadis. Saya bimbang mendapat kemarahan tuannya." Jawab Imam Malik sambil menunjuk kearah maqam Rasulullah SAW.
Tidak menunggang kuda.
Satu lagi tanda betapa Imam Malik terlalu cinta dan mengagungkan Baginda Muhammad SAW ialah beliau tidak akan menunggang kuda dikawasan Madinah. Imam Malik membeli seekor kuda untuk digunakan ketika keluar dari kota Madinah bagi memudahkan perjalanannya. Namun ada sesuatu yang menghairankan orang ramai. Salah seorang dari mereka memberanikan diri bertanya.
"Mengapa tuan tidak menunggang kuda ini? Bukankah tujuan tuan membelinya bagi dijadikan tunggangan?"
"Bukankah disini terdapat jasad yang mulia Nabi Muhammad SAW?" tanya Imam Malik pula.
"Benar. Tapi apa pula kaitannya?" tanya orang itu pula.
"Saya malu kepada ALLAH sekiranya memijak-mijak bumi yang didalamnya terdapat jasad Rasulullah SAW dengan tapak kaki kudaku." Balas Imam Malik. Beliau hanya akan menunggang kuda sekiranya sudah sampai dipinggir kota Madinah.
Penasihat pemerintah.
Salah satu kelebihan Imam Malik ialah beliau disayangi oleh ramai orang termasuklah pemerintah. Bermula dari Gabenor wilayah hatta Khalifah. Sikap beliau yang agak lembut dalam menghadapi sebarang masalah politik menjadikan beliau lebih disenangi berbanding Imam Abu Hanifah yang agak lantang dan berani mengeluarkan sebarang fatwa dan menunjukkan protes terhadap khalifah yang dianggapnya zalim.
Ketika Zaid bin Ali cucu Husain bin Ali cuba menentang Khalifah Hisyam(kerajaan Bani Umaiyyah), beliau mendapat sokongan daripada Imam Abu Hanifah apabila beliau mengeluarkan fatwa dibolehkan menentang Khalifah Hisyam kerana berlaku zalim. Nabi Muhammad SAW bersabda: "Seutama-tama jihad adalah kata-kata yang benar pada pemerintah yang zalim. Seutama syahid adalah orang mati dibunuh oleh pemerintah kerana mengucapkan kata-kata yang benar dihadapan pemerintah yang zalim itu" kata seorang ulama yang menyokong pemberontakan Zaid.
Namun, Imam Malik tidak ambil peduli dengan apa yang berlaku. Beliau berbeza pendapat dengan Imam Abu Hanifah dalam masalah itu. Beliau tidak merestui perlawanan menentang kerajaan, meskipun kerajaan itu zalim, kecuali yang benar-benar diyakini, dengan perlawanan itu kerajaan yang zalim dapat ditumbangkan. Sekiranya memberontak pada kerajaan yang zalim dan diyakini penentangan tidak berjaya, perjuangan itu hanya sia-sia. Imam Malik lebih suka memberi nasihat kepada khalifah daripada mengangkat senjata.
Oleh kerana pendirian Imam Malik yang tidak menyokong pemberontakan khalifah Hisyam itu menyebabkan penduduk Mekah dan Madinah tidak menyertai pemberontakan Zaid. Benarlah seperti telahan Imam Malik, pemberontakan itu gagal dan ramai pahlawan yang mati sia-sia akibat pertempuran sesama umat islam.
***
Pada pendapat dan pengamatan saya yang dhaif ini, inilah yang dinamakan 'khilaf dikalangan umatku adalah rahmat'. Sikap keras Imam Abu Hanifah dan kelembutan Imam Malik punya kelebihan masing-masing dari sudut pandang yang berbeza.
Dari sudut pandang yang pertama, sikap berani dan lantang Imam Abu Hanifah dalam mengeluarkan fatwa telah menerbitkan rasa gerun dihati khalifah Hasyim sehinggakan khalifah tidak senang duduk dan berfikir mencari jalan untuk meredakan pemberontakan yang ingin dilakukan rakyat.
Walaupun ternyata pemberontakan itu tidak berjaya, pengajarannya ada buat khalifah Hasyim. Setelah peristiwa itu, beliau bertindak lebih berhati-hati demi menjaga hati rakyat sekaligus mempertahankan kedudukannya sebagai khalifah pada masa itu.
Dan dari sudut pandang yang kedua pula, kelembutan Imam Malik dalam menghadapi sikap khalifah yang dikatakan zalim itu mendatangkan kebaikan serta keuntungan yang amat besar. Dengan sikap berkecuali Imam Malik itu, membuatkan khalifah Hisyam bertambah sayang padanya. Semakin kerap mereka berjumpa dan semakin banyak nasihat yang diberikan Imam Malik kepada khalifah. Natijahnya, khalifah Hasyim semakin lembut hati dan akhirnya tenggelam dalam keinsafan.
***
Dan yang sedihnya keadaan ulama' kita pada hari ini jauh sekali jika dibandingkan zaman dahulu. Tugas ulama' sebagai penasihat kepada pemerintah tidak lagi dipraktikkan jauh sekali diambil berat. Jangan kata negara-negara bukan arab sahaja, bahkan negara-negara islam yang bersilsilah arab sekalipun kurang mengamalkannya. Ulama' hanya diberi mandat untuk mengajarkan ilmu di masjid-masjid, sekolah dan sebagainya. Pemerintah lebih senang mengambil keputusan tanpa merujuk kepada ulama serta lebih memberi kepercayaan kepada orang kanan mereka seperti wazir dan menteri yang bukannya pakar dalam bidang agama.
Malahan, jika para ulama' bersuara, pastinya suara-suara mereka hanya dipandang sepi dan adakalanya dianggap menentang pemerintah. Inilah hakikat yang kita alami sekarang. Impak daripada tidak menggunakan khidmat ulama' inilah yang membawa banyak mudharat kepada negara dan khususnya rakyat.
Cukup setakat ini dulu ya? akan bersambung dalam entri yang seterusnyaaa.... ^_^





No comments:
Post a Comment