Blogger Backgrounds
"Sampaikanlah dakwah dari Baginda S.A.W dengan hunusan mata penamu andai kau tidak bisa menyampaikan dengan lisanmu....."

Sunday, June 10, 2012

Imam Maliki, pengarang kebenaran #2


Seperti yang dijanjikan, siap jugaklah sambungan entri pasal novel sejarah Imam Malik. Semoga bermanfaat. ^__^


Dihukum sebat 

Imam Malik merupakan salah seorang ulama' yang turut menjadi mangsa kekejaman pemerintah sama seperti Imam Abu Hanifah. Tapi, tidaklah seteruk Imam Abu Hanifah yang diseksa sehingga meninggal dunia didalam penjara.

Imam Malik dihukum sebat oleh Gabenor Madinah, dek kerana fitnah yang dilemparkan keatas dirinya oleh salah seorang ulama Madinah yang memusuhinya iaitu Syobiyah.

Segalanya bermula ketika salah seorang anak murid Imam Malik bertanya akan perihal talak yang dilafazkan dalam keadaan dipaksa. Imam Malik pun mengeluarkan fatwa bahawa apa-apa sahaja yang dipaksa hukumnya tidak sah. Termasuklah sekiranya seorang khalifah itu dilucutkan kuasanya secara paksa lalu diganti dengan orang lain.

Syobiyah yang pada waktu itu mendengar fatwa Imam Malik terus naik berang dan mengadukan perkara itu kepada Gabenor Madinah. Gabenor turut berasa marah lalu bertemu dengan Imam Malik meminta beliau menarik balik fatwa tersebut kerana bimbang rakyat akan menjadikan fatwa itu sebagai alasan untuk menentang khalifah Abu Jaafar al-Mansur kerana beliau menaiki takhta atas lantikan abangnya, khalifah Abbas as-Saffah tanpa persetujuan rakyat secara umum.

"Fatwa itu bersandarkan hadis nabi yang shahih. Sekiranya saya menarik semula fatwa itu bererti saya menolak hadis nabi Muhammad SAW." Tegas Imam Malik.

"Letakkan dia diatas unta dan bawa berjalan di sekeliling kota Madinah. Beritahu orang ramai inilah ulama' pendusta!" Suruh Gabenor.

Imam Malik tetap dengan pendiriannya walaupun dijatuhkan hukuman. "Saya bukan pendusta. Saya berkata benar. Tidak sah talak yang dipaksa." Kata Imam Malik.

Gabenor menjadi marah. Dia menyuruh Syobiyah memukul belakang Imam Malik dengan tongkat. "Saya dipukul kerana mempertahankan urusan agama. Ulama sebelum saya juga pernah dipukul malah ada yang dibunuh….." Syobiyah terus memukul belakang Imam Malik sehingga beliau pengsan.

Melihat penyeksaan yang dilakukan kepada ulama kesayangan mereka,orang ramai pun hilang sabar lalu bertindak menyelamatkan Imam Malik. Kemudian beliau diberikan rawatan. Dibahagian belakang badannya terdapat 70 kesan pukulan hingga salah satu tulang rusuknya cedera teruk.

Penyeksaan yang dilakukan Gabenor Madinah, Jaafar dan Syobiyah terhadap Imam Malik itu adalah diluar pengetahuan khalifah Abu Jaafar al-Mansur. Mendapat tahu akan berita itu,khalifah berasa sangat marah lantas melucutkan jawatan Gabenor Madinah dan syobiyah serta menjatuhkan hukuman keatas mereka. 

Kitab muwatta' 

Imam malik menghafal 100,000 hadis tetapi tidak semua hadis itu dijadikan sumber hukum dan rujukan. Selepas ditapis dengan teliti, Cuma 10,000 hadis sahaja yang diakui sah. Kemudian daripada 10,000 yang diakui sah itu disiasat dan dipadankan dengan firman ALLAH. Akhirnya, tinggal 5000 hadis sahaja yang benar-benar diakui sah yang diterimanya sebagai sabda Rasulullah SAW.

Dan akhirnya hanya 1720 buah hadis dimuatkan kedalam kitab muwatta' yang masyhur kita gunakan hingga ke hari ini. Ketelitian Imam Malik dalam berurusan dengan hadis Rasulullah SAW terbukti apabila beliau mengambil masa selama 40 tahun untuk menyiapkan kitab tersebut. Mula ditulis dengan cadangan dan perintah dari khalifah Abu Jaafar al-Mansur dan siap semasa pemerintahan khalifah Harun ar-Rasyid.

Pada suatu malam, Imam Malik mimpi bertemu Rasulullah SAW. Dalam mimpi tersebut baginda SAW menyuruh kitab itu disebarkan kepada manusia. Oleh kerana itu Imam Malik menamakan kitab yang dihasilkan dengan nama Muwatta' yang membawa maksud; disepakati atau tunjang atau panduan dalam ilmu dan hukum agama. 

Beberapa fakta yang ramai kurang mengetahuinya dan perlu diketahui; 

* Imam malik dikandungkan ibunya selama 2 tahun dan pendapat mengatakan 3 tahun.

* Sejak kecil, beliau mempunyai minat dan bakat yang mendalam dalam bidang nyanyian. Pernah menyuarakan hasrat untuk menjadi penyanyi kepada ibunya. Tetapi ibunya mahu beliau menjadi ulama yang terbilang mengikut jejak langkah nenek moyangnya.

* Imam Malik suka makan daging dan buah pisang. Beliau gemar makan pisang kerana katanya, pisang itu seumpama buah dari syurga kerana buah itu boleh didapati pada musim panas dan sejuk.

* Imam Malik akan memakai pakaian yang cantik dan bagus serta berwangi-wangian ketika mengahadiri majlis ilmu dan ketika membaca Hadis Baginda SAW.

* Menjadi sikap Imam Malik apabila berjalan, beliau tidak mahu sesiapa berada dibelakangnya. Beliau tidak akan berjalan mendahului orang lain malahan akan berjalan beriringan dengan orang itu.

* Imam Malik tidak pernah menolak sebarang pemberian dari sesiapa pun termasuklah para khalifah. Setiap kali mendapat hadiah yang berbentuk duit, beliau akan mendermakan kepada fakir miskin atau anak muridnya yang memerlukan.
***

Alhamdulillah, berjaya juga menyiapkan sedikit perkongsian daripada novel sejarah Imam Malik ni. Semoga bermanfaat buat sahabat sahabiah sekalian. Untuk tahu lebih lanjut, silalah dapatkan buku ni dan selamat membaca! ^__^

Saya akhiri perkongsian kali ini dengan salah satu nasihat Imam Malik yang sangat terkesan dihati ini;

"ALLAH tidak kasih kepada hamba-hambaNYA yang diberi nikmat melainkan hamba itu melahirkan kesan nikmat ALLAH itu. Lebih-lebih lagi orang yang berilmu." 


"Siapa mahu menjawab sesuatu masalah, dia perlu bentangkan dahulu dirinya kedalam syurga dan neraka dan berusaha bagaimana dia akan selamat di akhirat kelak." 

 Wallahu ta'ala a'la wa a'lam~

No comments: